Press Release

Memujuk si kecil berpuasa

Seorang guru membacakan sepotong hadis pendek mengenai kelebihan berpuasa kepada murid-murid yang kemudian mengangkat tangan sebagai tanda mahu berpuasa di Tadika Islam Addin di Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 7 Sept. - Melentur buluh biar dari rebungnya. Demikian pepatah yang dipegang untuk mendidik kanak-kanak agar berjinak-jinak menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Pendekatan biasa yang dilakukan masyarakat rata-ratanya ialah dengan cara memujuk namun tidak kurang penting juga suasana yang kondusif untuk mendorong dan memudahkan kanak-kanak menunaikan ibadah Rukun Islam yang ketiga itu.
Selain di rumah, suasana di mana kanak-kanak itu banyak menghabiskan masa turut memainkan peranan penting bagi mencapai sasaran berkenaan.
Sebab itu, di pusat prasekolah, Tadika Islam Addin di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini, murid-muridnya boleh dianggap bertuah kerana pusat berkenaan sentiasa mengambil berat soal tersebut.
Pengurus Besar pusat itu, Abdul Najib Abdul Kahar, 37, berkata, seawal bulan Rejab lagi murid-murid telah diberitahu tentang kelebihan Ramadan dengan membaca hadis-hadis pendek pada setiap perhimpunan pagi bagi menggalakkan mereka berpuasa.
"Kanak-kanak juga diajar membaca niat berpuasa dan niat berbuka dalam bahasa Arab, Melayu dan Inggeris," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Selain itu, menurutnya, mereka turut diberitahu pengertian puasa yang sebenar seperti kenapa mereka harus berpuasa serta larangan-larangan ketika berpuasa dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
"Ia bertujuan agar kanak- kanak sentiasa taat pada perintah Allah dalam kewajipan berpuasa Ramadan," jelasnya.
Namun pelbagai gelagat, dugaan dan kerenah murid-murid itu ketika berpuasa terpaksa dilalui antaranya apabila melihat rakan mereka yang tidak berpuasa makan.
Menurut Abdul Najib, dalam situasi itu guru-guru berperanan memujuk mereka agar bersabar dan menahan diri dari sebarang dugaan.
"Begitupun, melatih mereka berpuasa adalah terpulang mengikut kemampuan kanak-kanak itu.
"Bagi yang tidak berpuasa, dinasihat agar menghormati orang lain yang sedang berpuasa dengan tidak makan didepan orang yang berpuasa," jelasnya.
Pada hari biasa, menurutnya, pihaknya menyediakan makanan pada waktu rehat tetapi sepanjang Ramadan pihak Tadika tidak menyediakan makanan bertujuan melatih kanak-kanak berpuasa.
Beliau berkata, hasil pendekatan itu kira-kira 85 peratus murid di sekolah mampu berpuasa sejak berumur 4 tahun dengan sebahagian mereka bermula dengan berpuasa setengah hari.
"Apabila mengetahui kelebihan berpuasa, murid-murid bersemangat untuk berpuasa dan ingin bersaing sesama rakan sebaya siapakah yang paling banyak dapat berpuasa penuh pada Ramadan ini," jelasnya.
Katanya, walaupun pada mulanya berpuasa setengah hari tetapi mereka amat bersemangat dan memahami terhadap maksud puasa itu yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga menahan segala bentuk larangan Allah dan menjadi lebih berdisiplin.
Abdul Najib memberitahu, pendekatan itu dilakukan sejak 2004 di cawangan pertama di Taman Bukit Dahlia dan seterusnya diperluaskan di dua cawangan Tadika Addin di Taman Scientex dan Taman Sri Pulai Perdana membabitkan hampir 200 murid.
Apapun, katanya, walaupun kanak-kanak akan berpuasa apabila diberi dorongan ataupun dengan kemahuan sendiri namun tindakan menggalakkan anak-anak yang belum baligh berpuasa adalah penting walaupun puasa mereka itu tidak sampai sehari penuh.
"Kadang-kadang ia hanya sebagai satu latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu puasa," katanya.
Lebih-lebih lagi, Abdul Najib berkata, ia adalah selaras dengan syarak untuk menyuruh anak-anak berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukul secara yang tidak memudaratkan jika meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun.
Menurutnya, perkara itu dikiaskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya: 'Didiklah anak anda berpuasa semenjak kecil lagi.'


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment